Search-form

Selamat Membaca ..... elhaniyya.blogspot.com

Al Fuzail bin Iyaz

Jumat, 28 Januari 2011

“Orang yang cinta Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana kesenangan.”
Diambil dari buku yang ditulis oleh Farid Al-Din Attar

Al-Fuzail bin Iyaz (Bahagian 1)
Abu Ali al-Fuzail bin Iyaz at-Talaqani dilahirkan di Khurasan. Diriwayatkan bahawa sewaktu meningkat remaja, Fuzail adalah seorang pencuri. Setelah bertaubat, Fuzail pergi ke Kufah kemudian ke Makkah, di mana ia tinggal beberapa tahun lamanya hingga wafatnya pada tahun 187H/803M. Nama Fuzail cukup terkenal sebagai seorang ahli hadis, dan keberaniannya berdakwah kepada Harun ar-Rasyid menjadi sebutan orang.

Fuzail penyamun dan kisah taubatnya
Sewaktu masih remaja, Fuzail mendirikan khemah di tengah-tengah padang pasir, iaitu antara Merv dan Bawar. Jubahnya dibuat dari bahan kasar, topinya dibuat dari bulu kambing, dan di lehernya sentiasa tergantung sebuah tasbih. Fuzail mempunyai ramai kawan yang semuanya terdiri dari pencuri dan penyamun. Siang dan malam mereka merompak, membunuh dan membawa hasil rampasan mereka kepada Fuzail kerana ia adalah ketua mereka. Fuzail mengambil sesuatu yang disukainya, sesudah itu membahagi-bahagikan selebihnya kepada semua sahabatnya. Ia selalu ingat tentang sesuatu dan tidak pernah lupa dari pertemuan-pertemuan mereka. Setiap anggota baru yang sekali saja tidak menghadiri pertemuan, Fuzail akan mengeluarkannya dari kumpulan mereka.
Suatu hari sebuah kafilah yang besar melalui daerah mereka. Fuzail dan sahabat-sahabatnya telah menunggu kedatangan kalifah tersebut. Di dalam rombongan itu ada seorang lelaki yang pernah mendengar desas-desus mengenai perompak ini. Ketika ia terlihat kumpulan perompak itu dari jauh, ia pun berfikir, bagaimanakah ia harus menyembunyikan sebekas emas yang dimilikinya.

“Bekas emas ini akan kusembunyikan,” ia berkata di dalam hati. “Dengan demikian jika para perompak menyamun rombongan ini, aku masih mempunyai modal untuk dipusingkan.

Ia menyimpang ke jalan raya. Kemudian ia melihat sebuah khemah dan dekat khemah itu ada seorang yang wajah dan pakaiannya seperti seorang petapa. Maka bekas emas itu pun diberikannya kepada orang itu yang sebenarnya adalah Fuzail sendiri.

“Simpan bekasmu itu di sudut khemahku,” Fuzail berkata kepadanya. Lelaki itu melakukan seperti yang dikatakan Fuzail. Kemudian ia kembali ke rombongannya, tetapi ternyata mereka telah disamun oleh Fuzail. Semua barang dagangan mereka telah dirampas manakala kaki dan tangan mereka diikat. Lelaki itu membuka ikatan tersebut. Setelah mengumpulkan harta benda mereka yang masih tinggal, mereka pergi dari tempat kejadian itu. Lelaki tadi kembali ke khemah Fuzail untuk mengambil emasnya. Ia melihat Fuzail sedang berkumpul dengan perompak-perompak tadi dan membahagi-bahagikan harta rampasan mereka.

“Celaka, ternyata aku telah memberi emasku kepada seorang penyamun,” lelaki itu mengeluh.

Tetapi Fuzail tiba-tiba memanggilnya dan ia datang menghampiri.
“Apakah yang engkau mahu,” lelaki itu bertanya kepada Fuzail.
“Ambillah barangmu dari tempat tadi dan setelah itu tinggalkan tempat ini.
Lelaki itu segera berlari ke khemah Fuzail, mengambil emasnya dan meninggalkan tempat itu.
Dalam keadaan kehairanan, kawan-kawan Fuzail berkata: “Dari setiap kafilah itu kita tidak mendapatkan satu dirham pun di dalam bentuk tunai, tetapi mengapa engkau mengembalikan sepuluh ribu dirham itu kepadanya?
Fuzail menjawab: “Ia telah mempercayaiku seperti aku mempercayai Allah akan menerima taubatku nanti. Aku hargai kepercayaannya itu agar Allah menghargai kepercayaanku pula.
Pada hari lain mereka merompak sekumpulan kafilah lagi dan merampas harta benda mereka. Ketika sahabat-sahabat Fuzail sedang makan, seorang anggota kafilah itu datang menghampiri mereka dan bertanya: “Siapakah pemimpim kamu?
Salah seorang perompak itu menjawab: “Ia tidak ada di sini. Ia sedang solat di sebalik pokok yang terletak di pinggir sungai itu.
“Tetapi sekarang ini belum tiba waktunya untuk solat,” lelaki itu berkata.
“Ia sedang melakukan solat sunat,” salah seorang di antara penyamun-penyamun itu menjelaskan.
“Dan ia tidak makan bersama-sama dengan kamu?” lelaki itu bertanya lagi.
“Ia sedang puasa,” jawab salah seorang.
“Tetapi sekarang ini bukan bulan Ramadhan?
“Ia sedang puasa sunat.
Dengan merasa sangat hairan lelaki tadi menghampiri Fuzail yang sedang kusyuk mengerjakan solat. Setelah selesai solatnya ia berkata kepada Fuzail: “Ada sebuah peribahasa yang mengatakan, hal-hal yang bertentangan tidak dapat disatukan. Bagaimanakah mungkin seseorang berpuasa yang merompak , solat tetapi membunuh orang muslim pada waktu yang sama?
“Apakah engkau memahami al-Quran?” Fuzail bertanya kepadanya.
“Ya,” jawab lelaki itu.
“Tidakkah Allah Yang Maha Berkuasa berkata: Orang-orang lain telah mengakui dosa-dosa mereka dan mencampuradukkan perbuatan-perbuatan yang baik dengan perbuatan-perbuatan yang jahat?
Lelaki itu terdiam tidak berkata apa-apa.
Orang-orang mengatakan bahawa pada dasarnya Fuzail adalah seorang yang berjiwa pahlawan dan berhati mulia. Apabila di dalam kafilah terdapat seorang wanita, maka barang-barang wanita itu tidak diusiknya. Begitu juga harta-benda orang yang miskin tidak akan dirampas oleh Fuzail. Untuk setiap korbannya, ia selalu meninggalkan sebahagian dari harta bendanya yang dirampas. Sebenarnya semua kecenderungan Fuzail menghala ke arah perbuatan yang baik.
Pada awal sikap jahatnya, Fuzail tergila-gila kepada seorang wanita. Fuzail selalu menghadiahkan hasil rampasan kepada kekasihnya itu. Kerana terlalu cinta Fuzail sering memanjat dinding rumah wanita itu tanpa peduli keadaan cuaca yang bagaimana pun. Ketika berbuat begitu, ia selalu menangis.
Suatu malam, ketikia ia sedang memanjat rumah kekasihnya itu, lalu sebuah kafilah dan di antara mereka ada yang membacakan ayat yang berbunyi “Belumkah tiba masanya hati orang-orang yang percaya merendah diri untuk mengingat Allah?
Ayat ini bagaikan anak panah menembus jantung Fuzail, seolah-olah suatu ingatan kepadanya: “Wahai Fuzail, berapa lama lagikah engkau akan menyamun para kafilah? Telah tiba masanya kami akan menyamunmu pula!
Fuzail terjatuh dan berkata: “Memang telah tiba masanya, malah hampir terlewat!
Fuzail merasa bingung dan malu. Ia berlari ke arah sebuah bukit. Ternyata di situ sebuah kafilah sedang berkhemah. Mereka berkata: “Marilah kita meneruskan perjalanan.” Tetapi salah seorang daripada mereka melarang: “Jangan, Fuzail sedang menanti dan akan menghalang kita.
Mendengarkan kata-kata mereka itu Fuzail berkata: “Berita gembira! Fuzail telah bertaubat!
Setelah berkata begitu ia pun pergi. Sepanjang hari ia berjalan sambil menangis. Hal ini sangat menggembirakan orang-orang yang membenci dirinya. Kepada setiap orang di antara sahabat-sahabatnya, Fuzail meminta supaya janji setia di antara mereka diputuskan. Akhirnya hanya tinggal seorang Yahudi di Baward. Fuzail meminta supaya janji setia di antara mereka berdua diputuskan tetapi Yahudi itu tidak mahu.
“Sekarang kita dapat mempermain-mainkan pengikut Muhammad.” Yahudi itu berbisik kepada teman-temannya sambil ketawa.
“Jika engkau menginginkan aku memutuskan janji setia yang telah kita ikrarkan itu, maka ratakanlah bukit itu.” Yahudi itu berkata kepada Fuzail sambil menunjukkan ke arah sebuah bukit pasir. Bukit itu tidak mungkin dapat dipindahkan oleh seorang manusia, kecuali mengambil masa yang lama. Fuzail yang malang itu mula mencangkul bukit itu sedikit demi sedikit, tetapi bagaimanakah tugas tersebut dapat diselesaikan? Pada suatu pagi, ketika Fuzail dalam keadaan keletihan, tiba-tiba datang angin kencang yang meniup bukit pasir tersebut sehingga rata. Setelah melihat betapa bukit pasir itu telah menjadi rata Yahudi itu merasa sangat hairan dan berkata kepada Fuzail: “Sesungguhnya aku telah bersumpah, bahawa aku tidak akan memutuskan janji setia kita sebelum engkau memberikan wang kepadaku. Oleh itu masuklah ke dalam rumahku, ambil segenggam wang emas yang terletak di bawah permaidani dan berikan kepadaku. Dengan begitu sumpahku akan dipenuhi dan janji setia di antara kita dapat diputuskan.
Fuzail masuk ke dalam rumah orang Yahudi itu. Sesungguhnya Yahudi itu telah menaruh selonggok tanah di bawah permaidani itu. Tetapi ketika Fuzail meraba ke bawah permaidani itu dan menarik tangannya keluar, ternyata yang didapatinya adalah segenggam penuh dinar emas. Dinar-dinar emas ini diserahkannya kepada orang Yahudi itu.
“Islamkan aku!” Yahudi itu berkata kepada Fuzail.
Fuzail mengislamkannya dan ia jadilah seorang muslim.
Kemudian Yahudi itu berkata kepada Fuzail: “Tahukah engkau mengapa aku mahu memeluk Islam? Dulu aku masih ragu, yang manakah agama yang benar. Aku pernah membaca di dalam Taurat: “Jika seseorang yang benar-benar bertaubat, kemudian meletakkan tangannya ke atas tanah, maka tanah itu akan berubah menjadi emas.” Sesungguhnya di bawah permaidani tadi telah kuletak sedikit tanah untuk membuktikan taubatmu. Dan ketika tanah itu berubah menjadi emas kerana tersentuh oleh tanganmu, tahulah aku engkau benar-benar telah bertaubat dan bahawa agamamu adalah agama yang benar.

Permulaan hidup baru Fuzail
Fuzail memohon kepada seseorang: “Demi Allah, ikatlah kakiku dan tanganku, kemudian bawalah aku ke hadapan sultan agar ia mengadiliku kerana berbagai kejahatan yang pernah kulakukan.
Orang itu memenuhi permohonan Fuzail. Ketika sultan melihat Fuzail, terlihat olehnya tanda-tanda manusia berbudi pada dirinya.
“Aku tidak dapat mengadilinya.” Sultan berkata. Kemudian ia memerintahkan Fuzail dihantar pulang dalam keadaan baik. Ketika sampai di rumahnya Fuzail menangis dengan suara yang lantang.
“Dengarlah Fuzail yang sedang menangis dengan suara yang lantang begitu! Mungkin ia sedang diseksa,” orang-orang berkata.
“Memang benar, aku sedang diseksa!” Fuzail menjawab.
“Apa yang dipukul?” mereka bertanya.
“Batinku!” jawab Fuzail.
Kemudian Fuzail menjumpai isterinya. “Isteriku,” katanya. “Aku akan pergi ke rumah Allah. Jika engkau suka, engkau akan kubebaskan.
Tetapi isterinya menjawab: “Aku tidak mahu berpisah dari sisimu. Ke mana pun engkau pergi aku akan bersamamu.
Maka berangkatlah mereka ke Makkah. Allah Yang Maha Kuasa telah menyenangkan perjalanan mereka. Di kota Mekah mereka tinggal dekat Kaabah dan dapat bertemu dengan beberapa orang soleh. Untuk beberapa lama Fuzail bergaul rapat dengan imam Abu Hanifah. Dan mengenai kekerasan disiplin diri Fuzail telah banyak kisahnya yang ditulis orang. Di kota Makkah ini terbukalah kesempatan Fuzail untuk berkhutbah dan penduduk kota sentiasa datang beramai-ramai untuk mendengarkan kata-katanya. Nama Fuzail sentiasa menjadi sebutan di seluruh pelosok dunia, sehingga sanak keluarganya meninggalkan Bavard menuju ke Makkah untuk menemuinya. Mereka mengetuk pintu rumah Fuzail namun Fuzail tidak menjawab. Mereka tidak mahu meninggalkan tempat itu, maka naiklah Fuzail ke atap rumahnya dan dari sana ia berseru kepada mereka: “Wahai penganggur-penganggur, semoga Allah memberikan pekerjaan kepada kamu!
Berkali-kali Fuzail mengucapkan kata-kata yang pedas seperti itu sehingga semua sanak keluarganya menangis. Akhirnya kerana putus asa untuk dapat berbual dengan Fuzail, mereka pun meninggalkan tempat itu. Fuzail masih tetap di atas atap rumah dan tidak mahu membukakan pintu rumahnya.

Fuzail dengan Khalifah Harun ar-Rasyid
Pada suatu malam, Harun ar-Rasyid memanggil Fazl Barmesid, salah seorang di antara pengawal kesayangannya. Harun ar-Rasyid berkata kepada Fazl: “Malam ini bawalah aku kepada yang boleh menunjukkan kapadaku siapakah aku ini sebenarnya. Aku telah jemu dengan segala kebesaran dan kebanggaan.
Fazl membawa Harun ar-Rasyid ke rumah Sufyan al-Uyaina. Mereka mengetuk pintu dan dari dalam Sufyan menyahut: “Siapakah itu?
“Pemimpin kaum Muslimin,” jawab Fazl.
Sufyan berkata: “Mengapa sultan mahu menyusahkan diri. Mengapa tidak diberitahu sahaja padaku sehingga aku datang sendiri menemuinya?
Mendengar ucapan tersebut Harun ar-Rasyid  berkata: “Ia bukan orang yang kucari. Ia pun mengagungkanku seperti orang lain.
“Jika demikian, Fuzail bin ‘Iyaz adalah orang yang engkau cari. Pergilah kepadanya.” Kemudian Sufyan membacakan ayat: “Apakah orang-orang yang perbuat aniaya menyangka bahawa Kami akan menyamakan mereka dengan orang-orang yang beriman serti melakukan perbuatan-perbuatan yang soleh?
Harun ar-Rasyid mengatakan: “Seandainya aku menginginkan nasihat-nasihat yang baik nescaya ayat itu telah mencukupi.
Kemudian mereka mengetuk pintu rumah Fuzail. Dari dalam Fuzail bertanya: “Siapakah itu?
“Pemimpin kaum Muslimin,” jawab Fazl.
“Apakah urusannya dengan aku dan apakah urusanku dengan dia?” tanya Fuzail.
“Bukankah suatu kewajipan untuk mematuhi orang yang memegang kuasa?” sela Fazl.
“Jangan kamu menggangguku,” seru Fuzail.
“Perlukah aku menolak pintu dengan kekuasaanku sendiri atau dengan perintah sultan?” tanya Fazl.
“Tidak ada sesuatu  hal yang disebut kekuasaan,” jawab Fuzail. “Jika engkau secara paksa menceroboh masuk, engkau tahu apa yang engkau lakukan.
Harun ar-Rasyid melangkah masuk, Begitu Harun menghampirinya, Fuzail meniup lampu sehingga padam agar ia tidak dapat melihat wajah sultan. Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya dan disambut oleh tangan Fuzail yang kemudian berkata: “Betapa lembut dan halus tangan ini! Semoga tangan ini terhindar dari api neraka!
Setelah berkata demikian Fuzail berdiri dan berdoa. Harun ar-Rasyid meresa hatinya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan tangisannya.
“Katakanlah sesuatu kepadaku,” Harun bermohon kepada Fuzail.
Fuzail mengucapkan salam kepadanya dan berkata: “Sebelum ini, bapa saudara Nabi Muhammad, pernah meminta kepada beliau: “Jadikanlah aku pemimpin bagi sebahagian umat manusia.” Nabi menjawab: “Pak cik, untuk sesaat aku pernah mengangkatmu menjadi pemimpim dirimu sendiri.” Dengan  jawapan ini yang dimaksudkan Nabi adalah: Sesaat mematuhi Allah adalah lebih baik daripada seribu tahun dipatuhi oleh manusia. Kemudian Nabi menambah lagi: “Kepimpinan akan menjadi penyesalan pada hari kebangkitan nanti.
“Ceritakanlah,” Harun ar-Rasyid meminta.
“Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz memanggil Salim bin Abdullah, Raja’ bin Hayat, dan Muhammad bin Kaab. Umar berkata kepada mereka: “Hatiku sangat gelisah kerana ujian ini. Apakah yang harus kulakukan? Aku tahu bahawa kedudukan yang tinggi ini adalah satu ujian walaupun orang-orang lain menganggapnya sebagai satu kurnia. Salah seorang di antara ketiga sahabat Umar itu berkata: “Jika engkau ingin terlepas dari hukuman Allah di akhirat nanti, pandanglah setiap Muslim yang lanjut usia sebagai ayahmu sendiri, setiap Muslim yang masih kanak-kanak sebagai anakmu sendiri, dan perlakukanlah mereka sebagaimana seharusnya seorang memperlakukan ayahnya, saudaranya dan anak-anaknya.”
“Ceritalah lagi,” Harun ar-Rasyid meminta.
“Anggaplah negeri Islam sebagai rumahmu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri. Ziarahilah ayahmu, hormatilah saudaramu dan bersikap baiklah kepada anakmu. Aku sayangkan jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah Allah dan taatilah perintah-perintah-Nya. Berhati-hatilah dan bersikaplah secara bijaksana, kerana pada hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang dipertanggungjawabkan olehmu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang. Apabila ada seorang wanita uzur yang tertidur dalam keadaan lapar, di hari Akhirat nanti ia akan menarik pakaianmu dan akan memberikan kesaksian yang akan memberatkan dirimu.”
Harun ar-Rasyid menangis dengan sangat kuatnya sehingga nampak ia akan jatuh pengsan. Melihat hal ini wazir Fazl menyentak Fuzail: “Cukup! Engkau telah membunuh pemimpin kaum Muslimin.
“Diamlah Hamam! Engkau dan orang-orang yang engkau inilah yang telah menjerumuskan dirinya, kemudian engkau katakan aku yang membunuhnya. Apakah yang kulakukan ini suatu pembunuhan?
Mendengar kata-kata Fuzail ini tangisan Harun ar-Rasyid semakin menjadi-jadi. “Ia menyebutmu Hamam,” kata Harun ar-Rasyid memandang Fazl. “Kerana ia menyamakan diriku dengan Firaun.
Kemudian Harun bertanya kepada Fuzail: “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?
“Ya,” jawab Fuzail. “hutang kepatuhan kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan hutang ini celakalah aku!
“Yang kumaksudkan adalah hutang kepada manusia, Fuzail,” Harun menegaskan.
“Aku bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga tidak ada keluh-kedah yang harus kusampaikan kepada hamba-hamba-Nya.
Kemudian Harun ar-Rasyid menaruh sebuah bekas yang berisi seribu dinar di hadapan Fuzail sambil berkata: “Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku.
Tetapi Fuzail mengutuknya: “Wahai pemimpim kaum Muslimin, nasihat-nasihat yang kusampaikan kepadamu ternyata tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi perbuatan salah dan mengulangi kezaliman.
“Apakah perbuatan yang salah telah kulakukan?” tanya Harun ar-Rasyid.
“Aku menyerumu ke jalan keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu suatu kesalahan? Telah kukatakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada yang tidak patut menerimanya. Aku memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan sedirham pun.
Setelah berkata demikian, Fuzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu keluar.
“Benar-benar seorang manusia yang hebat!” Harun ar-Rasyid berkata ketika ia meninggalkan rumah Fuzail. “Sesungguhnya Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia. Ia sangat alim dan dunia ini terlalu kecil pada pandangannya.
Fuzail bersama anaknya
Suatu hari Fuzail memangku anak yang berumur empat tahun. Tanpa disengaja bibir Fuzail menyentuh pipi anak itu sebagaimana yang sering dilakukan seorang ayah kepada anaknya.
“Apakah ayah cinta kepadaku?” anak itu bertanya kepada Fuzail.
“Ya,” jawab Fuzail.
“Apakah ayah cinta kepada Allah?
“Ya.
“Berapa banyakkah hati yang ayah miliki?
“Satu,” jawab Fuzail.
“Dapatkah ayah mencintai dua hal dengan satu hati,” anaknya meneruskan pertanyaannya.
Fuzail sedar bahawa yang berkata-kata itu bukanlah anaknya sendiri. Sesungguhnya kata-kata itu adalah petunjuk dari Ilahi. Kerana takut dimurkai Allah, Fuzail memukul-mukul kepalanya sendiri dan memohon ampun kepada-Nya. Ia memutuskan kasih sayang kepada si anak kemudian dicurahkan kepada Allah semata-mata.

Fuzail dengan jemaah di Arafah
Pada suatu hari Fuzail sedang berada di Padang Arafah. Semua jemaah yang berada di sana menangis, meratap, menyerahkan diri dan memohonkan ampun dengan segala kerendahan hati.
“Maha Besar Allah!” seru Fuzail. “Jika manusia ramai ini secara serentak menghadap kepada seseorang dan mereka semua meminta sekeping wang perak kepadanya, apakah yang dilakukannya? Apakah orang itu akan mengecewakan manusia-manusia yang banyak ini?
“Tidak!” orang ramai menjawab.
“Jadi,” Fuzail melanjutkan. “Sudah tentu bagi Allah Yang Maha Besar untuk mengampunkan kita semua adalah lebih mudah dari orang tadi untuk memberikan sekeping wang perak. Dia adalah Yang Maha Kaya di antara yang kaya dan kerana itu sangat besar harapan kita bahawa Dia akan mengampunkan kita semua.

Fuzail mendoakan anaknya
Putera Fuzail menderita penyakit susah hendak buang air kecil. Fuzail mendekati anaknya dan mengangkat kedua tangannya sambil berdoa: “Ya Allah, dengan cintaku kepada-Mu sembuhkanlah ia dari penyakit ini.
Belum sempat Fuzail bangkit dari duduknya anaknya telah segar bugar kembali.

Doa Fuzail
Di dalam doanya Fuzail sering mengucapkan: “Ya Allah, ampunilah aku kerana Engkau Maha Tahu bahawa aku telah bertaubat. Dan janganlah Engkau menghukumku kerana Engkau Maha Berkuasa atas diriku.” Kemudian ia melanjutkan: “Ya Allah, Engkau telah membuatku lapar dan telah membuat anak-anakku lapar. Engkau telah membuatku telanjang dan telah memberikan pelita kepadaku apabila hari telah gelap. Semua ini Engkau lakukan terhadap sahabat-sahabat-Mu. Kerana keluhuran hatinya, apakah Fuzail telah menerima kehormatan-Mu ini?

Putera Fuzail meninggal dunia
Selama tiga puluh tahun tidak seorang pun pernah melihat Fuzail tersenyum kecuali ketika puteranya meninggal dunia. Pada waktu itulah orang-orang melihat Fuzail tersenyum. Seorang dari mereka menegurnya: Fuzail, mengapakah engkau tersenyum di saat yang seperti ini?
“Aku menyedari bahawa Allah menghendaki agar anakku mati. Aku tersenyum kerana kehendak-Nya telah terlaksana,” jawab Fuzail.

Fuzail meninggal dunia
Fuzail mempunyai dua orang anak perempuan. Menjelang akhir hayatnya Fuzail menyampaikan wasiat terakhir kepada isterinya: “Apabila aku mati bawalah anak-anak kita ke gunung Jabal Qubais. Di sana hadapkanlah wajahmu dan berdoalah kepada Allah: “Ya Allah, Fuzail menyuruhku untuk menyampaikan pesanannya kepada-Mu: ketika dia hidup kedua anak-anak tidak berdaya ini telah kulindungi dengan sebaik-baiknya. Tetapi setelah Engkau mengurungku di dalam kubur, mereka kuserahkan kepada-Mu kembali.
Setelah Fuzail dikembalikan, isterinya melakukan seperti yang dipesankan kepadanya. Ia pergi ke puncak gunung Abu Qubais membawa kedua anak perempuannya. Kemudian ia berdoa kepada Allah sambil menangis dan meratap. Kebetulan pada saat itu seorang Raja dari negeri Yaman bersama kedua puteranya melalui tempat itu. Menyaksikan mereka yang menangis dan meratap, Raja itu bertanya: “Apakah kemalangan yang telah menimpa diri kamu?
Isteri Fuzail menerangkan keadaan mereka. Kemudian Raja berkata: “Jika kedua puterimu kuambil untuk kedua puteraku ini dan tiap-tiap seorang mereka kuberikan sepuluh ribu dinar sebagai mas kahwinnya, apakah engkau merasa senang hati?
“Ya,” jawab si ibu.
Raja itu segera mempersiapkan usungan, permaidani-permaidani dan kain dari benang emas kemudian membawa ibu itu beserta kedua puterinya ke negeri Yaman.

0 komentar:

Posting Komentar